Walaupun terdapat pelbagai teknologi terkini yang muncul dan heboh diperkatakan, kita tidak seharusnya terus sahaja menerima sesuatu teknologi tersebut tanpa berfikir terlebih dahulu. Kita seharusnya mengkaji dan menyelidik dahulu sesuatu teknologi itu sama ada ianya mendatangkan kebaikan atau pun keburukan. Tidak semua teknologi terkini yang muncul itu bersesuaian dengan persekitaran negara kita, Malaysia yang merupakan sebuah negara membangun yang sedang meningkat maju dan berdaya saing.
Walaupun begitu, jika sesuatu teknologi itu sudah dikaji dan didapati bahawa ianya membawa kebaikan kepada pembangunan negara dan rakyat, teknologi tersebut haruslah diterima dan diaplikasikan demi kebaikan bersama.
Mungkin terdapat sesetengah individu yang sukar untuk menerima sesuatu perubahan yang dibawa oleh sesuatu teknologi terkini, oleh itu langkah-langkah perlu dilakukan oleh pihak-pihak tertentu terutamanya pihak syarikat dan kerajaan. Contohnya, MIMOS Berhad yang telah melancarkan perkhidmatan kad pra-bayar FlexiCall JARING yang menggunakan teknologi Telefon Suara melalui Protokol Internet ( VoIP ) iaitu sebuah teknologi yang masih baru di negara ini, pihak MIMOS seharusnya menjalankan promosi dan memberi penerangan yang lebih jelas dan mendalam mengenai teknologi VoIP dan kad pra-bayar tersebut kepada pengguna. Oleh itu, individu yang masih kabur mengenai teknologi tersebut akan lebih memahami dan akan cuba menerimanya sedikit demi sedikit.
Teknologi komunikasi memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dan bangsa. Malaysia telah memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun 1999. Penubuhan MSC adalah sebagai langkah kerajaan untuk menggunakan sepenuhnya keupayaan teknologi komunikasi dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Kesimpulannya, semua pihak perlu bekerjasama dalam memastikan negara kita tidak ketinggalan dalam apa jua bidang dan teknologi terkini yang kebanyakannya lebih awal muncul di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun. Teknologi-teknologi terkini ini dapat membantu dalam kemajuan negara kita dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berteknologi, mempunyai rakyat yang celik IT dan menjadi sebuah negara yang dihormati oleh seluruh dunia.